Memaparkan catatan dengan label sharing. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sharing. Papar semua catatan

Selasa, 20 Ogos 2013

Sharing : Kisah Benar Antara Aku Dan Kucing Jalanan Bernama Burn..

Jangan Baca Kisah ni..

sumber: http://kakimotong.blogspot.com

---------------------------------------------

Sudah lama saya ingin berkongsi dengan para pembaca semua mengenai kisah ini dan hari ni Alhamdulillah saya berpeluang untuk mengarangnya. Kisah ini berlaku sebelum saya dan isteri menimang cahaya mata setelah setahun lebih berkahwin. Peristiwa ini juga berlaku ketika kami tinggal di rumah lama di sebuah apartment.

Di sekitar pertengahan tahun 2006, seperti biasa saya memandu pulang ke rumah melalui Lebuhraya Besraya Cheras. Lebih kurang pukul 5 atau 6 petang, sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Sg Long ( RM0.90 ) saya terlihat ada seekor kucing yang amat besar bermundar-mandir di tengah-tengah jalan raya. Keadaannya amat daif. Kemudian saya ternampak pula kereta-kereta yang melepasi palang tol teragak-agak untuk meneruskan perjalanan kerana takut terlanggar kucing tersebut. Ada juga pemandu yang tidak bertimbangrasa terus memecut keretanya sebaik sahaja melepasi palang tol walaupun dia tahu risikonya yang dia akan melanggar kucing itu.

Saya dah nekad, kucing ni mesti diselamatkan tak kira walau apa pun yang terjadi. Lebih kurang 30 meter dari palang tol ( jarak yang baik untuk kereta memecut ) saya memberhentikan kereta di tengah-tengah kesibukan jalan raya. Banyak kereta yang membunyikan hon sebagai tanda marah tapi saya tak pedulikan tu semua. Sebaik sahaja saya memberhentikan kereta dan menyalakan 'Hazard Light', sepantas kilat saya keluar dari kereta dan menyambar kucing tersebut yang berada betul-betul di hadapan kereta saya ketika itu. Saya juga dimaki oleh seorang pemandu kerana kononnya saya membahayakan laluan keretanya. Sempat juga saya merenung mata pemandu tersebut yang berada cuma sedepa dari badan saya. Pemandu tersebut memandang ke arah kucing yang saya dakap itu sambil menggelengkan kepala. Saya terus memasuk ke dalam kereta semula dan memandu ke arah bahu jalan dengan niat untuk melepaskan kucing itu semula.

Kemudian, baru saya perasan. Kucing tersebut berwarna hitam dan tiada bulu langsung. Dari kepala sampai ke ekornya. Kemudian saya terasa tapak tangan saya menjadi kasar. Rupa-rupanya kucing tersebut dah terkena kurap yang amat kronik. Kesan kasar di tapak tangan saya adalah kopeng-kopeng kurapnya. Allahhuakbar saya cakap. Kasihan sungguh kucing ini. Saiznya pula amatlah besar. Lagi besar dari kucing saya yang bernama Hero. Baru saya teringat kembali ketika mengangkat kucing tersebut, ianya terlalu berat sekali. Berkali-kali saya fikir, adakah patut saya melepaskannya ke tepi jalan semula? Bagaimana kalau dia pergi ke tengah jalan semula? Kalau dia tak pergi ke jalan raya sekalipun, bagaimana pula dengan kurapnya? Yang pasti tiada seorang manusia pun yang akan memegangnya selepas ini. Sudah pasti dia akan mati disebabkan kurap...Aduhai, seksanya hidup dia...Perasaan geli masa itu langsung tidak terfikir. Ketika masih di bahu jalan, saya buka but kereta dan mencuci tangan ala kadar sahaja. Saya sempat menoleh ke arah kaunter tol di belakang. Ternampak kelibat seorang pengawal tua senyum ke arah saya walaupun jaraknya mencecah lebih kurang 100m. Saya masih boleh lihat dengan jelas misai dan gigi pakcik tu tersenyum ke arah saya. Saya tak fikir panjang lalu membawa kucing itu pulang ke rumah.

Semasa di dalam kereta, kucing itu terus tidur di tempat letak kaki sebelah penumpang hadapan. Dia dalam keadaan mengantuk, dahaga, lapar dan sakit pedih akibat kurap. Sempat juga saya 'berbual' dengannya.

"Jangan risau yer...aku dah jaga kau sekarang..jangan takut...kejap lagi aku beli makanan yang sedap2 untuk kau" Kemudian saya singgah ke 7 Eleven untuk membeli makanan kucing jenis basah berharga RM1.20 dan memberinya makan di dalam kereta sejurus selepas itu.

Kesian sungguh kucing tu. Keadaannya daifnya lebih dari yang saya sangka. Saya menelefon isteri dan memberitahunya yang saya ada bawa kucing balik. Seperti yang dijangka, isteri saya membenarkannya. Saya tidak memberitahu isteri saya tentang keadaan sebenar kucing ini.

Sampai sahaja di rumah, isteri saya terkejut dengan keadaan kucing tersebut. Badannya berwarna hitam seperti terbakar, tambahan lagi tiada bulu langsung. 100% hanyalah kerak kurap. Aduhai keluh isteri saya. Selepas itu, saya tinggalkan kucing tersebut di rumah sementara saya pergi kedai membeli minyak gamat ( tak ingat pula berapa botol ) dan satu pek besar makanan kucing.

Dengan kalimah Bismillah dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W, saya lumur badan kucing tu dengan minyak gamat dengan sepenuh hati dan belas saya. Isteri saya memang tidak mahu tengok sebab terlalu sedih keadaannya. Kucing tu besar, tapi dia tidak melawan ketika diubati kerana terlalu letih barangkali. Sambil melumurkan minyak gamat tersebut, kucing itu tertidur. Ini amat memudahkan saya untuk "kerjakan" dia. Keadaannya ketika itu baru sahaja selesai makan dan minum. Keadaan gelojohnya ketika makan rasanya tidak perlu saya ceritakan di sini sebab anda semua mungkin sudah boleh membayangkannya. Isteri saya menamakannya Si Burn, sempena keadaannya ketika dijumpai seperti kucing terbakar. Kena pula nama tu dengan dia. Untuk pengetahuan, saya terpaksa kurung Si Burn ni di bilik belakang. Bilik tersebut memang saya buat stor. Saya terpaksa kuarantin dia sebab takut kurap merebak kepada kucing-kucing saya yang lain.

Pada Subuh esoknya, sebelum ke tempat kerja saya sempat 'menyalin" makanan dan pasir kumbahannya. Si Burn masih tidur lagi. Posisi tidurnya masih sama dengan posisi tidur pada malam sebelumnya. Kasihan, berapa hari agaknya dia tidak tidur kerana kegatalan dan pedih akibat kurapnya itu.

Lepas pulang dari kerja, Si Burn masih tidur tetapi posisinya berlainan. makanan sudah pun habis dan ada terdapat 2 ketulan najis di dalam dulang pasir kumbahannya. Alhamdulillah, dia dah selesa barangkali. Air di dalam bekas minumannya dah hampir kering. Semasa dia tidur, saya amati badannya dengan teliti. Seumur hidup saya, belum pernah saya terjumpa kurap yang sedemikian rupa. Tetapi, saya perasan kerak kurapnya menjadi kecut dan tertanggal. Ini sudah bagus....!!! Lantas saya lumurkan minyak gamat ke seluruh badannya lagi. Kali ni, tapak tangan saya penuh dengan kerak kurap yang tertanggal. Terasa nak muntah pun ada. Tapi, saya tidak mahu buat sekerat jalan. Saya lumurkan sahaja sambil menelan air liur yang tidak berapa boleh nak telan.

Pada Subuh esoknya, Si Burn dah bangun dan kelihatan dia menjilat badannya yang dilumur dengan minyak gamat dengan selamba. Saya dan isteri pun gembira melihat keletahnya. Seperti biasa, saya "menyalin" perlatan keperluannya. Saya masih ingat lagi ketika itu hari Jumaat. Saya dan isteri pula bekerja setengah hari itu( tak ingat pula terpaksa keluar dari tempat kerja atas urusan apa ). Sebaik sahaja sampai di rumah, kami terkejut melihat ada 2 ekor burung hitam terperangkap dan berterbangan di dalam rumah. Saiznya sebesar burung tiong dan rupanya seperti burung gagak tetapi yang pasti ianya bukan burung gagak. Kalau yang seekor terbang ke kanan, yang seekor lagi akan ikut terbang secara bersebelahan. Pendek cerita, mereka memang tak mahu berenggang. Ke mana sahaja mereka akan terbang berdua. Saya tidak pula memikirkan apa-apa. Bagi saya, burung-burung ini mungkin tersalah masuk lubang sarang lalu termasuk ke dalam rumah saya. Selepas setengah jam, saya masih gagal mengeluarkan burung-burung tersebut walaupun semua tingkap telah saya buka dengan seluas-luasnya. Burung-burung tu tetap tidak mahu keluar. Ia bertenggek di bahagian ropol langsir. Ini dah lain dah ni bisik hati hati saya. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk tidak ambil pusing. Saya terus ke bilik dan merehatkan diri. Selang beberapa minit apabila saya menjenguk ke ruang tamu semula, burung-burung itu dah tiada. Agak menghairankan kerana burung tu nak keluar pun bersama-sama.

Saya sempat menjenguk Si Burn, bermain-main dengannya sebentar dan membersihkan apa yang patut. Saya amat gembira melihat kepala dan badannya telah mula ditumbuhi bulu. Cuma bahagian bawah perut dan ekornya agak lambat baik. Lantai bilik itu penuh dengan kerak kurap yang tertanggal. Kalau anda nak tahu, rupanya kelihatan seperti tahi minyak. Bau bilik tersebut agak busuk kerana terperap dengan bau najis dan bau minyak gamat., Matanya dah bersinar semula. Bulu-bulunya yang tumbuh kelihatan sangat halus dan bersih. saya selalu berkata kepada Si Burn: " Minta maaf sebab terpaksa kurung kau..bukan apa, takut nanti kau gaduh dengan Hero...nanti Hero plak kena kurap" Saya tak pasti samada dia faham atau tidak tetapi selepas itu dia menggeselkan kepalanya di seluar saya sehingga ada kerak kurapnya tertanggal dan melekat di seluar saya.

Pada malam itu, saya bermimpi saya pergi memancing di sebuah tasik yang sangat cantik. saya telah mendapat 2 ekor ikan emas yang sangat cantik Kedua-duanya sama warna. Perasaan ketika itu gembira amat terkata.

Pada hari Sabtu esoknya, saya pergi ke tempat kerja macam biasa sementara isteri ke rumah ibunya. Kehidupan kami berjalan seperti biasa. Tiada benda-benda pelik yang berlaku. Semasa dalam perjalanan pulang, saya dan isteri tidak habis-habis berbual pasal Burn. Sepanjang 1 jam setengah perjalanan, kami tidak putus-putus bercerita.

Sebaik sahaja sampai di rumah, saya membuka pintu bilik untuk menjenguk Burn. Tidak sabar rasanya mahu melihat badannya ditumbuhi semula. Apabila daun pintu bilik dibuka, saya dapati Burn tiada di dalam bilik. Bilik itu juga kurang berbau. Tingkap dan pintu memang tertutup rapi kecuali di tingkap kecil di bahagian atas daun tingkap ( top hung window ). Tidak mungkin Burn memanjat tingkap tersebut memandangkan keadaan langsir yang masih tersisip rapi. Kalau Si Burn memanjat tingkap, pasti langsir itu akan terhurai dan ada kesan kotoran minyak gamat. Pintu pula memang tidak dibuka. Tiada kesan pergelutan kucing kerana kalau Si Burn keluar dari bilik, Hero mesti bergaduh dengan Burn. Isteri saya bertambah terkejut dengan apa yang berlaku. "Siapa agaknya Si Burn tu bang??" tanya isteri saya. Saya masih keliru dengan keadaan yang berlaku. Puas saya selongkar seisi rumah namun tidak menemui apa-apa pun. Bekas makanan masih ada baki makanan, begitu juga air minuman. Dulang pasirnya ada 1 najis tapi tak berbau. Botol minyak gamat yang kotor luarannya kelihatan bersih seperti sediakala. Bantal yang dikhususkan untuk Si Burn baring masih terletak kemas di tepi penjuru bilik. Bilik itu seolah-olah tidak pernah dikurungi kucing. Kerak kurapnya yang besar di atas lantai menjadi kecil dan ini amat memudahkan saya untuk membersihkannya. Kemudian saya periksa keadaan fizikal Hero. Saya amati betul-betul. Keadaannya normal. Mukanya juga menunjukkan muka selamba. Aihh..macamana pula Si Burn boleh keluar dari bilik ni? Ke mana pula dia pergi ni? Kalau dia mati di rumah, di mana bangkainya?

Pada malam itu, sekali lagi saya bermimpi dapat memancing dua ekor ikan. Kali ini bukan ikan emas, malah lebih besar dari itu. Rupanya seperti ikan patin tetapi bersisik.
Pada pagi Ahad, saya bertanya kepada jiran yang tinggal di aras tingkat bawah ( beliau adalah surirumah sepenuh masa ) dan kepada tukang sapu sampah yang selalu bertugas di situ. Mereka berkata tidak jumpa apa-apa bangkai kucing atau kucing yang berwarna hitam di kawasan itu. Kalau Si Burn mati masa terjun, tukang sapu itu mesti jumpa bangkainya. Saya mula berkata-kata di dalam hati..... "Makhluk apa yang aku bawak balik ni?? Pelik betul...!!!" Selepas kejadian itu, saya dan isteri reda dengan apa yang berlaku. Kami pasrah. Saya tetap harapkan yang Si Burn ni selamat.

Selang seminggu lebih selepas peristiwa itu, pada suatu pagi isteri saya muntah-muntah semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Saya dah syak yang isteri saya mula mengandung. Saya bertanyakan kepada isteri samada mahu pergi kelinik atau ke tempat kerja? Dia kata mahu ke tempat kerja kerana di sana pun ada klinik. Pada waktu tengah hari, isteri saya menelefon dan memberitahu yang memang sah dia mengandung. Saya gembira tidak terkata. Penantian selama hampir 2 tahun kini berakhir. Doktor pula mengesahkan kandungan  sudah berusia 2 minggu ( masa tu tidak perasan lagi umur kandungan sama dengan usia kehilangan Si Burn iaitu 2 minggu )

Ketika mengandung, kesemua yang makanan diminta oleh isteri saya semuanya mesti dua. Kalau nak nasi lemak, mesti dua bungkus walaupun yang memakannya hanya dia seorang. Begitu juga dengan roti canai, air teh ais bungkus dan lain-lain makanan.

Selepas kandungan mencecah 3 bulan, saya dan isteri teringin nak melihat bakal cahaya mata. Kami pergi ke sebuah klinik swasta untuk pengimbasan kandungan ( scan perut ). Doktor yang mengimbas perut isteri saya mula mengerutkan dahi sambil menjeling ke arah saya. Sambil doktor tersebut menggelek-gelekkan ‘nozzle’ pengimbas itu di atas perut isteri saya, dia bertanya :


Doktor : En Hairey ni ada keturunan kembar tak??

Saya : Rasanya tak ada ( sambil mengerutkan dahi dengan penuh kehairanan. Isteri saya senyum sahaja ketika itu )

Doktor : Menurut pengamatan saya, ada dua bayi kat dalam perut ni. Rasanya macam kembar.

Saya : Eh...?? Betul ke?? Boleh saya tengok?? ( justeru itu, saya melihat ke arah monitor...kelihatan ada 2 kepala bayi sebesar bola ping pong di dalam perut. kedua bayi tersebut kelihatan aktif sekali walaupun baru berusia 3 bulan )

Doktor : Saya pasti, ini memang kembar. saya syorkan awak buat pemeriksaan lanjut di hospital.

Saya : Baik..( membalas soalan dengan penuh kekeliruan )

Terima Kasih Sudi Komen Dan Follow Sini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...