Jangan Baca
Kisah ni..
sumber:
http://kakimotong.blogspot.com
---------------------------------------------
Sudah lama
saya ingin berkongsi dengan para pembaca semua mengenai kisah ini dan hari ni
Alhamdulillah saya berpeluang untuk mengarangnya. Kisah ini berlaku sebelum
saya dan isteri menimang cahaya mata setelah setahun lebih berkahwin. Peristiwa
ini juga berlaku ketika kami tinggal di rumah lama di sebuah apartment.
Di sekitar
pertengahan tahun 2006, seperti biasa saya memandu pulang ke rumah melalui
Lebuhraya Besraya Cheras. Lebih kurang pukul 5 atau 6 petang, sebaik sahaja
melepasi Plaza Tol Sg Long ( RM0.90 ) saya terlihat ada seekor kucing yang amat
besar bermundar-mandir di tengah-tengah jalan raya. Keadaannya amat daif.
Kemudian saya ternampak pula kereta-kereta yang melepasi palang tol
teragak-agak untuk meneruskan perjalanan kerana takut terlanggar kucing
tersebut. Ada juga pemandu yang tidak bertimbangrasa terus memecut keretanya
sebaik sahaja melepasi palang tol walaupun dia tahu risikonya yang dia akan
melanggar kucing itu.
Saya dah
nekad, kucing ni mesti diselamatkan tak kira walau apa pun yang terjadi. Lebih
kurang 30 meter dari palang tol ( jarak yang baik untuk kereta memecut ) saya
memberhentikan kereta di tengah-tengah kesibukan jalan raya. Banyak kereta yang
membunyikan hon sebagai tanda marah tapi saya tak pedulikan tu semua. Sebaik
sahaja saya memberhentikan kereta dan menyalakan 'Hazard Light', sepantas kilat
saya keluar dari kereta dan menyambar kucing tersebut yang berada betul-betul
di hadapan kereta saya ketika itu. Saya juga dimaki oleh seorang pemandu kerana
kononnya saya membahayakan laluan keretanya. Sempat juga saya merenung mata
pemandu tersebut yang berada cuma sedepa dari badan saya. Pemandu tersebut
memandang ke arah kucing yang saya dakap itu sambil menggelengkan kepala. Saya
terus memasuk ke dalam kereta semula dan memandu ke arah bahu jalan dengan niat
untuk melepaskan kucing itu semula.
Kemudian, baru
saya perasan. Kucing tersebut berwarna hitam dan tiada bulu langsung. Dari
kepala sampai ke ekornya. Kemudian saya terasa tapak tangan saya menjadi kasar.
Rupa-rupanya kucing tersebut dah terkena kurap yang amat kronik. Kesan kasar di
tapak tangan saya adalah kopeng-kopeng kurapnya. Allahhuakbar saya cakap.
Kasihan sungguh kucing ini. Saiznya pula amatlah besar. Lagi besar dari kucing
saya yang bernama Hero. Baru saya teringat kembali ketika mengangkat kucing
tersebut, ianya terlalu berat sekali. Berkali-kali saya fikir, adakah patut
saya melepaskannya ke tepi jalan semula? Bagaimana kalau dia pergi ke tengah
jalan semula? Kalau dia tak pergi ke jalan raya sekalipun, bagaimana pula
dengan kurapnya? Yang pasti tiada seorang manusia pun yang akan memegangnya
selepas ini. Sudah pasti dia akan mati disebabkan kurap...Aduhai, seksanya
hidup dia...Perasaan geli masa itu langsung tidak terfikir. Ketika masih di
bahu jalan, saya buka but kereta dan mencuci tangan ala kadar sahaja. Saya
sempat menoleh ke arah kaunter tol di belakang. Ternampak kelibat seorang
pengawal tua senyum ke arah saya walaupun jaraknya mencecah lebih kurang 100m.
Saya masih boleh lihat dengan jelas misai dan gigi pakcik tu tersenyum ke arah
saya. Saya tak fikir panjang lalu membawa kucing itu pulang ke rumah.
Semasa di
dalam kereta, kucing itu terus tidur di tempat letak kaki sebelah penumpang
hadapan. Dia dalam keadaan mengantuk, dahaga, lapar dan sakit pedih akibat
kurap. Sempat juga saya 'berbual' dengannya.
"Jangan
risau yer...aku dah jaga kau sekarang..jangan takut...kejap lagi aku beli
makanan yang sedap2 untuk kau" Kemudian saya singgah ke 7 Eleven untuk
membeli makanan kucing jenis basah berharga RM1.20 dan memberinya makan di
dalam kereta sejurus selepas itu.
Kesian sungguh
kucing tu. Keadaannya daifnya lebih dari yang saya sangka. Saya menelefon
isteri dan memberitahunya yang saya ada bawa kucing balik. Seperti yang dijangka,
isteri saya membenarkannya. Saya tidak memberitahu isteri saya tentang keadaan
sebenar kucing ini.
Sampai sahaja
di rumah, isteri saya terkejut dengan keadaan kucing tersebut. Badannya
berwarna hitam seperti terbakar, tambahan lagi tiada bulu langsung. 100%
hanyalah kerak kurap. Aduhai keluh isteri saya. Selepas itu, saya tinggalkan
kucing tersebut di rumah sementara saya pergi kedai membeli minyak gamat ( tak
ingat pula berapa botol ) dan satu pek besar makanan kucing.
Dengan kalimah
Bismillah dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W, saya lumur badan
kucing tu dengan minyak gamat dengan sepenuh hati dan belas saya. Isteri saya
memang tidak mahu tengok sebab terlalu sedih keadaannya. Kucing tu besar, tapi
dia tidak melawan ketika diubati kerana terlalu letih barangkali. Sambil
melumurkan minyak gamat tersebut, kucing itu tertidur. Ini amat memudahkan saya
untuk "kerjakan" dia. Keadaannya ketika itu baru sahaja selesai makan
dan minum. Keadaan gelojohnya ketika makan rasanya tidak perlu saya ceritakan
di sini sebab anda semua mungkin sudah boleh membayangkannya. Isteri saya
menamakannya Si Burn, sempena keadaannya ketika dijumpai seperti kucing
terbakar. Kena pula nama tu dengan dia. Untuk pengetahuan, saya terpaksa kurung
Si Burn ni di bilik belakang. Bilik tersebut memang saya buat stor. Saya
terpaksa kuarantin dia sebab takut kurap merebak kepada kucing-kucing saya yang
lain.
Pada Subuh
esoknya, sebelum ke tempat kerja saya sempat 'menyalin" makanan dan pasir
kumbahannya. Si Burn masih tidur lagi. Posisi tidurnya masih sama dengan posisi
tidur pada malam sebelumnya. Kasihan, berapa hari agaknya dia tidak tidur
kerana kegatalan dan pedih akibat kurapnya itu.
Lepas pulang
dari kerja, Si Burn masih tidur tetapi posisinya berlainan. makanan sudah pun
habis dan ada terdapat 2 ketulan najis di dalam dulang pasir kumbahannya.
Alhamdulillah, dia dah selesa barangkali. Air di dalam bekas minumannya dah
hampir kering. Semasa dia tidur, saya amati badannya dengan teliti. Seumur
hidup saya, belum pernah saya terjumpa kurap yang sedemikian rupa. Tetapi, saya
perasan kerak kurapnya menjadi kecut dan tertanggal. Ini sudah bagus....!!!
Lantas saya lumurkan minyak gamat ke seluruh badannya lagi. Kali ni, tapak
tangan saya penuh dengan kerak kurap yang tertanggal. Terasa nak muntah pun
ada. Tapi, saya tidak mahu buat sekerat jalan. Saya lumurkan sahaja sambil
menelan air liur yang tidak berapa boleh nak telan.
Pada Subuh
esoknya, Si Burn dah bangun dan kelihatan dia menjilat badannya yang dilumur
dengan minyak gamat dengan selamba. Saya dan isteri pun gembira melihat
keletahnya. Seperti biasa, saya "menyalin" perlatan keperluannya.
Saya masih ingat lagi ketika itu hari Jumaat. Saya dan isteri pula bekerja
setengah hari itu( tak ingat pula terpaksa keluar dari tempat kerja atas urusan
apa ). Sebaik sahaja sampai di rumah, kami terkejut melihat ada 2 ekor burung
hitam terperangkap dan berterbangan di dalam rumah. Saiznya sebesar burung
tiong dan rupanya seperti burung gagak tetapi yang pasti ianya bukan burung
gagak. Kalau yang seekor terbang ke kanan, yang seekor lagi akan ikut terbang
secara bersebelahan. Pendek cerita, mereka memang tak mahu berenggang. Ke mana
sahaja mereka akan terbang berdua. Saya tidak pula memikirkan apa-apa. Bagi
saya, burung-burung ini mungkin tersalah masuk lubang sarang lalu termasuk ke
dalam rumah saya. Selepas setengah jam, saya masih gagal mengeluarkan
burung-burung tersebut walaupun semua tingkap telah saya buka dengan
seluas-luasnya. Burung-burung tu tetap tidak mahu keluar. Ia bertenggek di
bahagian ropol langsir. Ini dah lain dah ni bisik hati hati saya. Akhirnya,
saya membuat keputusan untuk tidak ambil pusing. Saya terus ke bilik dan
merehatkan diri. Selang beberapa minit apabila saya menjenguk ke ruang tamu
semula, burung-burung itu dah tiada. Agak menghairankan kerana burung tu nak
keluar pun bersama-sama.
Saya sempat
menjenguk Si Burn, bermain-main dengannya sebentar dan membersihkan apa yang
patut. Saya amat gembira melihat kepala dan badannya telah mula ditumbuhi bulu.
Cuma bahagian bawah perut dan ekornya agak lambat baik. Lantai bilik itu penuh
dengan kerak kurap yang tertanggal. Kalau anda nak tahu, rupanya kelihatan
seperti tahi minyak. Bau bilik tersebut agak busuk kerana terperap dengan bau
najis dan bau minyak gamat., Matanya dah bersinar semula. Bulu-bulunya yang
tumbuh kelihatan sangat halus dan bersih. saya selalu berkata kepada Si Burn:
" Minta maaf sebab terpaksa kurung kau..bukan apa, takut nanti kau gaduh
dengan Hero...nanti Hero plak kena kurap" Saya tak pasti samada dia faham
atau tidak tetapi selepas itu dia menggeselkan kepalanya di seluar saya
sehingga ada kerak kurapnya tertanggal dan melekat di seluar saya.
Pada malam
itu, saya bermimpi saya pergi memancing di sebuah tasik yang sangat cantik.
saya telah mendapat 2 ekor ikan emas yang sangat cantik Kedua-duanya sama
warna. Perasaan ketika itu gembira amat terkata.
Pada hari
Sabtu esoknya, saya pergi ke tempat kerja macam biasa sementara isteri ke rumah
ibunya. Kehidupan kami berjalan seperti biasa. Tiada benda-benda pelik yang
berlaku. Semasa dalam perjalanan pulang, saya dan isteri tidak habis-habis
berbual pasal Burn. Sepanjang 1 jam setengah perjalanan, kami tidak putus-putus
bercerita.
Sebaik sahaja
sampai di rumah, saya membuka pintu bilik untuk menjenguk Burn. Tidak sabar
rasanya mahu melihat badannya ditumbuhi semula. Apabila daun pintu bilik
dibuka, saya dapati Burn tiada di dalam bilik. Bilik itu juga kurang berbau.
Tingkap dan pintu memang tertutup rapi kecuali di tingkap kecil di bahagian
atas daun tingkap ( top hung window ). Tidak mungkin Burn memanjat tingkap
tersebut memandangkan keadaan langsir yang masih tersisip rapi. Kalau Si Burn
memanjat tingkap, pasti langsir itu akan terhurai dan ada kesan kotoran minyak
gamat. Pintu pula memang tidak dibuka. Tiada kesan pergelutan kucing kerana
kalau Si Burn keluar dari bilik, Hero mesti bergaduh dengan Burn. Isteri saya
bertambah terkejut dengan apa yang berlaku. "Siapa agaknya Si Burn tu
bang??" tanya isteri saya. Saya masih keliru dengan keadaan yang berlaku.
Puas saya selongkar seisi rumah namun tidak menemui apa-apa pun. Bekas makanan
masih ada baki makanan, begitu juga air minuman. Dulang pasirnya ada 1 najis
tapi tak berbau. Botol minyak gamat yang kotor luarannya kelihatan bersih
seperti sediakala. Bantal yang dikhususkan untuk Si Burn baring masih terletak
kemas di tepi penjuru bilik. Bilik itu seolah-olah tidak pernah dikurungi
kucing. Kerak kurapnya yang besar di atas lantai menjadi kecil dan ini amat
memudahkan saya untuk membersihkannya. Kemudian saya periksa keadaan fizikal
Hero. Saya amati betul-betul. Keadaannya normal. Mukanya juga menunjukkan muka
selamba. Aihh..macamana pula Si Burn boleh keluar dari bilik ni? Ke mana pula
dia pergi ni? Kalau dia mati di rumah, di mana bangkainya?
Pada malam
itu, sekali lagi saya bermimpi dapat memancing dua ekor ikan. Kali ini bukan
ikan emas, malah lebih besar dari itu. Rupanya seperti ikan patin tetapi
bersisik.
Pada pagi
Ahad, saya bertanya kepada jiran yang tinggal di aras tingkat bawah ( beliau
adalah surirumah sepenuh masa ) dan kepada tukang sapu sampah yang selalu
bertugas di situ. Mereka berkata tidak jumpa apa-apa bangkai kucing atau kucing
yang berwarna hitam di kawasan itu. Kalau Si Burn mati masa terjun, tukang sapu
itu mesti jumpa bangkainya. Saya mula berkata-kata di dalam hati.....
"Makhluk apa yang aku bawak balik ni?? Pelik betul...!!!" Selepas
kejadian itu, saya dan isteri reda dengan apa yang berlaku. Kami pasrah. Saya
tetap harapkan yang Si Burn ni selamat.
Selang
seminggu lebih selepas peristiwa itu, pada suatu pagi isteri saya muntah-muntah
semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Saya dah syak yang isteri saya mula
mengandung. Saya bertanyakan kepada isteri samada mahu pergi kelinik atau ke
tempat kerja? Dia kata mahu ke tempat kerja kerana di sana pun ada klinik. Pada
waktu tengah hari, isteri saya menelefon dan memberitahu yang memang sah dia
mengandung. Saya gembira tidak terkata. Penantian selama hampir 2 tahun kini
berakhir. Doktor pula mengesahkan kandungan
sudah berusia 2 minggu ( masa tu tidak perasan lagi umur kandungan sama
dengan usia kehilangan Si Burn iaitu 2 minggu )
Ketika
mengandung, kesemua yang makanan diminta oleh isteri saya semuanya mesti dua.
Kalau nak nasi lemak, mesti dua bungkus walaupun yang memakannya hanya dia
seorang. Begitu juga dengan roti canai, air teh ais bungkus dan lain-lain
makanan.
Selepas
kandungan mencecah 3 bulan, saya dan isteri teringin nak melihat bakal cahaya
mata. Kami pergi ke sebuah klinik swasta untuk pengimbasan kandungan ( scan
perut ). Doktor yang mengimbas perut isteri saya mula mengerutkan dahi sambil
menjeling ke arah saya. Sambil doktor tersebut menggelek-gelekkan ‘nozzle’
pengimbas itu di atas perut isteri saya, dia bertanya :
Doktor : En
Hairey ni ada keturunan kembar tak??
Saya : Rasanya
tak ada ( sambil mengerutkan dahi dengan penuh kehairanan. Isteri saya senyum
sahaja ketika itu )
Doktor : Menurut
pengamatan saya, ada dua bayi kat dalam perut ni. Rasanya macam kembar.
Saya : Eh...??
Betul ke?? Boleh saya tengok?? ( justeru itu, saya melihat ke arah
monitor...kelihatan ada 2 kepala bayi sebesar bola ping pong di dalam perut.
kedua bayi tersebut kelihatan aktif sekali walaupun baru berusia 3 bulan )
Doktor : Saya
pasti, ini memang kembar. saya syorkan awak buat pemeriksaan lanjut di
hospital.
Saya : Baik..(
membalas soalan dengan penuh kekeliruan )