Sudah beberapa jam si pengembara
berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah musim bunga di kawasan
perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan serangga yang
berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi kuntuman
bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.
Tetapi perjalanan yang jauh dan
matahari yang sedang terik menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu
mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang
lagi.
Lantas pemuda itu memutuskan untuk
pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah ladang di tepi jalan yang sedang
disusurinya itu. Seorang budak perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi.
Wajahnya comel.
Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.
Dia bukan membawa segelas air,
sebaliknya segelas susu kerana dia tahu pemuda tersebut bukan sekadar dahaga
tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan pengembaraannya.
“Berapa harga susu ini?” tanya
pemuda itu selepas menghabiskan susu tersebut.
Jawab budak perempuan itu, “Oh,
percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan
meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan”
Pengembara muda itu tersentuh hati
dengan jawapan tersebut. “Kalau begitu, saya hanya dapat mengucapkan terima
kasih sahaja,”kata pemuda tersebut, disambut oleh budak perempuan itu dengan
senyuman dan anggukan.
Sifat mulia budak perempuan itu
memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda yang berkenaan. Kejujuran budak
itu dan keengganannya menerima sebarang bayaran, walaupun dirinya sendiri
miskin, sering saja bermain dalam fikiran pemuda tersebut.
Tahun berganti, budak perempuan
itu yang kini berusia 20-an, diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah
hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan
seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.
Sejurus melihat wajah gadis itu
dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu segera terkenang saat dia meneguk
segelas susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan
yang pernah memberinya segelas susu dan kemudiannya berkata,” Emak dan ayah
telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga
kebaikan yang kita lakukan,”
Kini masanya untuk membalas jasa.
Doktor itu melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si
gadis ditempatkan di wad untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit
si gadis berjaya diubati.
Kini bayaran perlu dikenakan
kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut
menyelaknya sehelai demi sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat
pada bil tersebut, kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya.
Setelah itu dia menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang
tertera, iaitu sebuah rumah kecil di pinggir ladang.
Gadis tersebut menggeletar sebaik
menerima bil tersebut. Helaian demi helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya
terlalu besar. Dia tidak mampu membayarnya. Walau si gadis bekerja sepanjang
hayat sekalipun, belum tentu dia dapat membayar bil yang dikenakan itu.
Jumlah-jumlah yang menakutkan
terus terpapar, hinggalah ke helaian terakhir apabila si gadis membaca satu
catatan ringkas di bucunya. Tulisan itu berbunyi…
—————————————
“Sudah DiBayar Dengan SeGelas Susu.”
“Sudah DiBayar Dengan SeGelas Susu.”
-Dr Howard Kelly-
Salam Sayang,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan