Bayu malam dirasakan begitu halus menyapa diri, suasana yang tenang sebegini di desa tercinta pasti membuatkan setiap jiwa yang terlena bingkas bangun merujuk kepada bonda tercinta? Aik? Buat apa..
Hrmm. Memandangkan esok adalah hari jadi ibu, maka sempat saya bertanya, bagaimanakah ciri-ciri menantu idaman beliau. Dan ini jawapan yang diberikan;
Sambil menyinsingkan lengan, ibu memulakan cerita ditemani buku Jalan Cinta Para Pejuang karya Salim Fillah.
Ibu memang pengemar setia buku-buku tulisan mas Salim.
Katanya…
Menantu pilihan ibu mestilah seperti wanita ini :
Nama gadis mulia ini ialah Nailah Bte Farafishah Al Kalbiyah. Umurnya hanya 18 tahun ketika menikahi Saidina Ustman yang pada ketika itu berusia 80 tahun.
“Apakah engkau tidak keberatan menikahi seorang lelaki yang telah tua bangka?” tanya Saidina Ustman
Nailah tersenyum dan menunduk sambil berkata
“Saya termasuk wanita yang lebih suka memilih suami yg lebih tua”
“Tapi aku telah jauh melampaui ketuaanku?” Nailah kembali tersenyum sambil berkata “Waktu mudamu telah dihabiskan bersama-sama Rasullah saw dan itu jauh lebih aku sukai dari segala-galanya”
Waktu berlalu. hari berganti hari dan masa berganti masa, hasil perkongsian hidup itu mereka telah dikurniakan dua orang puteri, Maryam dan Anbasah bte Utsman. Dari saat pernikahan itu, Nailah tetap setia bersama suami tercinta.
Hingga pada suatu ketika, saat Saidina Ustman mahu dibunuh pemberontak, Nailah tetap setia disamping suaminya itu dan mempertahankannya dengan tubuhnya sendiri. Dia rela merebahkan tubuhnya untuk melindungi suaminya itu.
Subhanallah..Sehingga diceritakan jari jemarinya yang tulus itu terputus dek terkena libasan pedang pemberontak.Ketika akhirnya Saidina Ustman wafat dalam kemuliaan, Mu’awiyah menghantar utusan utk meminang Nailah. tetapi apa jawabannya?
“Tidak mungkin ada seorang manusia yang mampu mengantikan kedudukan Ustman dalam hatiku”
Kisah Fatimah bte Abdul Malik
Ibu menyambung ceritanya lagi sambil mengesat-ngesat kedua biji matanya yang sedikit berair. Penuh emosi ibu bercerita kali ini. Macam anaknya ini mahu berkahwin esok hari sahaja lagaknya;
Ibu juga mahu calon wanita ibu nanti seperti wanita ini,
Nama wanita mulia ini adalah Fatimah b. Abd Malik, isteri kepada khalifah Umar B. Abd Aziz.
Suatu saat Fatimah tersenyum mengenang kembali kisah sewaktu Umar duduk di sampingnya sambil berbisik lembut
“Apakah engkau keberatan sayang, bila permata yang sedang engkau pakai ini kita taruh dalam sebuah kotak lalu kita masukkan ia ke dalam Baitul Maal?”
Fatimah tiba-tiba terkejut. Ia menatap lelaki yang amat dicintainya itu. Disentuhnya permata yang terpakai kemas di lehernya itu. Permata itulah satu-satunya perhiasannya yang masih tinggal. Ia sangat menyayanginya. Permata yang penuh kenangan. Permata itu hadiah ayahnya Khalifah Abdul Malik B. Marwan, merangkap bapa saudara Khalifah Umar Abd Aziz di hari pernikahan mereka.
“Terlebih dahulu”, kata Umar, “Aku akan membelanjakan simpanan Baitul Mal yang lain, dan kalau sudah habis barulah akan kugunakan permata itu untuk kepentingan kaum muslimin”
Fathimah akhirnya tersenyum. Dibukanya pengait kalungnya. Diserahkannya permata itu ke genggaman suaminya. Dan ‘Umar, dengan tubuhnya yang mulai kurus memeluknya tanpa kata. Mesra dalam dakapan. Fathimah tahu ertinya. Seolah-olah ia mendengar suara lembut ‘Umar, “Terima kasih atas kesetiaanmu padaku di jalan yang penuh dengan kesulitan ini. Semoga Allah mempersatukan kita dalam kehidupan yang lebih indah di sisiNya”
Sampailah pada suatu ketika, Khalifah Umar B. Abd Aziz wafat dan adik Fathimah yang bernama Yazid ibn Abd Malik mengantikannya sebagai khalifah, ujian kesetiaan itu datang.
Yazid yang tahu perhiasaan itu kesayangan kakaknya membawa kembali permata itu. Dengan penuh sayang diletakkannya permata itu di genggaman tangan kakaknya. Fathimah mengeleng sambil tersenyum. “Aku telah menjauhinya ketika ‘Umar masih hidup. Bagaimana mungkin aku berdekat-dekat dengannya ketika ‘Umar telah tiada?”
Allahu Allah..
Kali ini aku yang menangis mendengar kisah ibu..
Ibu lalu menyambung kembali kisahnya..
Kisah Siti Hajar
“Mengapa kau tinggalkan kami wahai suamiku?” seru wanita itu penuh tanda tanya
Lelaki itu Ibrahim a.s diam tidak menjawab. Ia hanya berhenti sejenak, menghela nafas dalam-dalam menahan esak.
“Mengapa kau tinggalkan kami wahai suamiku?”
Yang ditanya tetap lagi mendiamkan diri. Dalam hatinya berkecamuk sejuta rasa. Dia berasa sangat bersalah meninggalkan isteri dan putera yang dicintainya itu berseorangan di padang pasir penuh gersang. Dia yang menanti-nanti kelahiran buah hati berpuluh tahun lamanya. Dia yang melalui malam-malamnya dengan doa-doa, memohon agar ada tangis kecil yang memecah kesunyian rumahnya. Kini Allah telah memberikan anugerah itu Ismail. Dan kini, Allah tiba-tiba memintanya meninggalkan Ismail dan ibunya di tanah tidak berpenghidupan ini. Ia akan merasa sepi lagi. Ia akan dilanda khawatir tak bertepi. Tetapi apakan daya seorang hamba ? Dan mengapa harus dia berprasangka sebegitu pada Allah? Ya, ia redha dengan perintahnya. Hanya saja ia tidak sanggup menjawab pertanyaan isterinya itu, Siti Hajar. Hatinya gerimis.
“Apakah ini perintah Allah?” Tiba-tiba wanita itu mengubah pertanyaannya.Ibrahim a.s terkejut. Ia berhenti sesaat lalu berbalik. Menatap wajah isteri dan anaknya itu dengan penuh rasakasih dan sayang.”Ya” Katanya. Helaan nafasnya panjang dan berat. “Ini perintah Allah”
Mereka berpelukan. “Kalau ini perintah Allah”, kata wanita solehah itu sambil berbisik di telinga suaminya, “Dia sesekali tidak akan pernah menyia-nyiakan kami”
Allahu Allah…
Dan ciri yang terakhir kalau boleh, menantu ibu mestilah seperti wanita ini..
Kisah Siti Khadijah
Ibu mahu agar bakal menantu ibu nanti mampu menjaga kamu, umpama Siti Khadijah menjaga suaminya Muhammad saw.
Meski, Siti Khadijah berselisih umur yang agak jauh dengan Baginda saw, namun hadirnya ke dalam diri Rasulullah saw, tentu bagaikan ibu yang penuh kasih ketika kekanakan seorang lelaki sesekali hadir memberi warna. Seorang janda yang begitu teguh hati, penuh pengalaman hidup, dan matang tentu membuat Muhammad saw merasa seperti memiliki kawan seiring dalam meraih kedewasaan dan kemuliaan pekerti. Siti Khadijah seolah hadir menjadi sebahagian scenario Allah dalam mempersiapkan kerasulannya.
Siti Khadijah juga hadir di saat yang genting dalam hidup beliau. Ia menunaikan tugasnya mendampingin Rasulullah di masa-masa yang berat, ketika dakwah ditindas, ketika risalah ditentang keras, dan sahabat-sahabat Rasulullah saw mengalami penyiksaan dan penganiayaan yang tak terperi. Khadijah hadir dengan jiwa dan hartanya untuk membenarkan, membela dan menjaga beliau dari para pencaci, pendengki dan musuh dakwah. Cinta Khadijah menghangatkan beliau ketika angin cubaan membekukan. Cinta Khadijah mententeramkannya ketika gelisah dan ketakutannya meraja. Cinta Khadijah menguatkannya ketika lelah dan lemah mulai menyerang urat sarafnya.
Ketika Rasulullah menerima wahyu pertama, ada perjuta gejolak dalam perasaan beliau. Sedih, binggung, cemas, gelisah, khawatir dan tertekan. Rasanya ingin menjatuhkan diri dari ketinggian gunung.
“Tiba-tiba aku berlutut”, kata Baginda Nabi, “Kemudian sendi kakiku mulai longlai. Aku berjalan merayap, sementara seluruh tubuhku bergetar keras. Cepat-cepat aku masuk menemui Khadijah, ‘Selimutilah aku, selimutilah aku”. Akhirnya rasa takutku beransur-ansur hilang.
Kemudian laki-laki yang memanggilku tadi datang lagi seraya berkata, “Ya Muhammad, engkau adalah utusan Allah” Mendengar itu aku berasa takut kembali dan rasanya aku ingin menjatuhkan diri dari ketinggian gunung. Mendadak, laki-laki itu menampakkan dirinya seraya berkata, “Ya Muhammad, aku Jibril dan engkau Rasulullah “
Lalu, ia membimbingku. “Bacalah !” Katanya.
“Aku tidak bisa membaca… “
Ia lalu mendakapku hingga tiga kali berturut-turut, hingga aku merasa letih sekali. Laki-laki itu berkata lagi, “Iqra’ bismi Rabbikal ladzi khalaq”. Kemudian aku mengikuti bacaan itu dengan baik.
Setelah itu aku pergi kepada Khadijah. Aku sangat takut sekali, aku ceritakan segala yang telah aku alami. Dengan penuh kepercayaan dan kasih sayang ia berkata “Tidaklah demikian… Dengarlah! Demi Allah, bergembiralah… Ia tidak akan merendahkan dan menghinakanmu sedikit pun. Demi Allah! Kerana engkau selalu menyambung silaturrahim, jujur dalam berkata, menunaikan amanah, suka menerima tetamu, tabah dalam derita, dan suka menolong orang yang dilanda musibah!
Begitulah, rasa tenteram serta kasih sayang tulus dan perhatian yang diberikan Khadijah telah menjadi kenangan tak tergantikan dalam hidup Rasulullah. Selimut kenangan yang diberikan Khadijah menjadi memori kemesraan yang mententeramkan. Sering, Beliau menyebut dan mengenangnya. Senantiasa Beliau menyambung silaturrahim dengan teman-teman Khadijah dii saat perempuan mulia itu telah mendahului. Begitulah riwayat mencatatkan.
Sobs-sobs..
Bunyi tangisan ibu semakin kuat. Dalam esak ibu berkata
“Justeru, seperti itulah calon menantu pilihan ibu. Biar tidak pandai memasak, tidak pandai menjahit, tidak pandai berbuat kerja dapur, tetapi dia adalah seorang wanita solehah yang baik agamanya “
Engkau anakku, bukannya mahu mencari orang gaji, tetapi mahu mencari calon isteri. Maka, pilihlah yang beragama.
Berpeganglah pada hadis Nabi ini, maka engkau akan berbahagia.
“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan berbahagia” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
p/s : Dialog adalah rekaan. Adapun kisah ini dicedok dan diubah sikit-sikit daripada buku Jalan Cinta Para Pejuang karya Salim Fillah
Salam Sayang,