SAIDATINA Aishah r.a ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda
maksudnya: "Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali
nabi-nabi dan keluarga mereka, juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan
Ramadan. Sesungguhnya mereka dalam
keadaan kenyang, tidak lapar dan tidak haus."
Bulan yang
dinyatakan dalam hadis terbabit adalah antara yang disebut-sebut banyak
kelebihan, sehingga hadis berkenaan menyatakan mereka yang berpuasa tidak akan
lapar dan haus pada hari kiamat kelak.
Dalam memberikan
penjelasan berkaitan tiga bulan yang berturut-turut itu, ada pihak membuat
perumpamaan tahun dengan pohon, iaitu Rejab umpama waktu keluarnya daun,
Syaaban diumpamakan keluarnya bunga dan Ramadan umpama buahnya.
Abu Hurairah
berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab bulan
Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadan itu bulan umatku." (Riwayat
Imam Bukhari dan Imam Muslim).
Ketiga tiga bulan
disebut Nabi s.a.w itu adalah bulan rahmat, kasih sayang dan kesejahteraan. Bulan
yang penuh keberkatan dan keampunan.
Sesetengah ulama
menyatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala
dosa manakala bulan Syaaban untuk memperbaiki diri daripada
segala macam cela
dan Ramadan adalah waktu menyucikan hati dan jiwa.
Syaaban bermaksud
berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana pada bulan itu
masyarakat Arab dulu bertempiaran ke serata tempat untuk mencari air, sehingga
ada yang mencarinya sampai ke gua.
Ia juga diertikan
demikian kerana menjadi 'bulan pemisah' iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan
Ramadan.
Nabi s.a.w
menjelaskan Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak, dengan
nilai berganda bagi mereka melaksanakan kebaikan dan ibadat dengan ikhlas dan
bersungguh.
Baginda bertanya
kepada sahabat, maksudnya: "Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini
dinamakan Syaaban?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih
mengetahui."
Baginda menjawab:
"Kerana pada bulan ini bercabang banyak kebaikan."
Dengan keutamaan
yang ada pada Syaaban ini, Baginda memanfaatkan kesempatan untuk meningkatkan
prestasi ibadat dan amal kebaikan sehingga seolah-olah Baginda tidak pernah
melakukan sedemikian pada bulan lain.
Nabi s.a.w
sendiri sering berpuasa pada bulan ini.
Daripada Saidatina
Aishah, beliau berkata maksudnya: "Adalah Rasulullah s.a.w sering berpuasa
hingga kami menyangka yang Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering
berbuka sehingga kami menyangka yang Rasulullah akan berbuka seterusnya.
"Aku tidak
pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku
tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak di
bulan Syaaban." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Hadis ini
menerangkan kepada umat Islam sekalian, Syaaban memang bulan sangat digalakkan
beramal ibadat selain bulan lain, sesuai dengan statusnya sebagai gerbang
Ramadan.
Rasulullah s.a.w
pernah mengumpamakan bulan Syaaban dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke
atas nabi lain.
Sabda Baginda
bermaksud: "Keutamaan Syaaban ke atas bulan yang lain adalah seperti
keutamaan saya di atas semua nabi lain sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke
atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas
makhluk-Nya."
Antara amalan
yang digalakkan pada bulan Syaaban ialah memperbanyakkan ibadat sunat termasuk
puasa, doa, zikir, selawat dan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan.
Walaupun amalan
ini sukar, ganjaran yang menanti adalah berganda. Ibadat sunat pada Syaaban
juga sebagai persediaan untuk lebih cergas beribadat siang dan malam pada
Ramadan.
Syaaban juga
adalah bulan di mana setiap doa orang beriman akan dimakbulkan Allah,
sebagaimana dinyatakan Abdullah Umar dalam riwayatnya mengenai hadis Nabi iaitu
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Antara solat lima waktu yang doanya
tidak ditolak ialah sewaktu malam Jumaat, pada malam 10 Muharam, pada malam
pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya iaitu malam hari raya
Aidilfitri dan Aidiladha."
Rasulullah s.a.w
bersabda: "Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu
antara bulan Rejab dan Ramadan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat
kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku
diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa." (Hadis
Riwayat Ahmad)
Dalam sejarah
umat Islam, bulan Syaaban juga menyaksikan beberapa peristiwa penting seperti
perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram
di Makkah.
Pada bulan ini
juga berlaku peperangan Bani Mustaliq iaitu pada Isnin hari kedua Syaaban tahun
ke-5 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera
berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang
memuliakan Syaaban, bertakwa kepada Allah dan taat kepada-Nya serta menahan
diri daripada perbuatan maksiat, Allah mengampuni semua dosanya dan
menyelamatkan dia pada satu tahun itu daripada semua bencana dan penyakit."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan